Monday, 26 August 2013
MITS MATTA FAIR 2013
Akasia Holiday telah menyertai MITS MATTA FAIR 2013 yang berlansung selama 3 hari bermula pada 23 hingga 25 Ogos bertempat di Melaka World Trade Center (MITC). pelbagai program telah kami jalankan di sana. kami ingi mengambil kesempatan kepada semua pengunjung yang telah mengunjungi booth kami. terima kasih semua.semoga kita dapat bertemu lagi di MATTA FAIR yang akan datang.
Sunday, 18 August 2013
Pulangkan Tangan Adik! Adik Janji Tak Buat Lagi!
Perjalanan pulang dari showroom dengan memandu kereta baru memberi satu pengalaman sangat menguja. Bau dalaman dan bungkusan plastik masih ada., sudah cukup menceritakan bahawa impian bertahun-tahun untuk memiliki sebuah kereta hebat telah menjadi kenyataan.
Sesampai di rumah, kereta diparkir di garaj dengan berhati-hati, sudah tentu sedikit calar akan mengguris kegembiraan yang sedang dinikmati kini. Isteri, anak termasuk pembantu rumahnya entah berapa kali berkeliling melihat dari pelbagai sudut dan memuji serta menyebut hal-hal yang sama berulang kali. Anak kecilnya berumur tiga tahun nampak lebih teruja dengan tak habis-habis keluar masuk kereta.
Malam itu, sebelum tidur juga duduk-duduk di tempat pemandu dan melihat lagi keretanya sebelum ke katil. Mungkin tidurnya juga bermimpikan kereta baru dengan warna merelit.
Hari esok, dia bangun penuh ceria, bergegas menghadap sarapan lalu mencapai beg bimbit untuk ke pejabat. Kawan-kawan sudah maklum, dan hari ini: Surprise! Begitu rancangannya.
Tetapi apabila dia menghampiri keretanya ada sesuatu yang sungguh memeranjatkan. Dia mendapati sekeliling keretanya terdapat calar-calar dengan goresan yang ketara. Beberapa saat terpinga dia hanya terpaku berdiri kekejangan.
Beg bimbit terlepas daripada genggaman kemudian muka terasa panas tersimbah dan kem
arahan membakar dada. Spontan datang dalam mindanya wajah anak kecil yang memang suka menconteng serata dinding. Baru kelmarin dia belikan kotak pensil warna dan kertas lukisan bagi mengatasi tabiat menconteng tersebut.
"Adik, mari sini!" Jeritnya kuat memanggil anaknya, nafasnya tertahan-tahan dalam membuak api kemarahan."Budak ini kena ajar," getus hatinya, berani benar anaknya menggores kereta barunya.
Si anak penuh ketakutan seperti seekor burung ciak yang menggigil dibasahi hujan. Tanpa berlengah bersama arus kemarahan yang sukar dibendung si ayah memukul anaknya di serata badan sambil mulutnya tak sudah-sudah menghamburkan kemarahan. Anak kecil ini hanya meraung dan menangis tetapi dalam hati rasa bersalah atas apa yang dia telah lakukan.
Kemarahan ayah masih belum reda lantas mengambil pembaris besi nipis dan dipegangnya tangan anak. Pembaris tersebut diracik-racikkan ke tangan si anak sambil ayahnya berkata, "Ini ayah nak ajar kamu!"
Ia terus mengherdiknya berulang kali. Kalaulah tidak disabarkan oleh isterinya mungkin jadi lebih teruk lagi anaknya. Anaknya tersepuk dalam dakapan pembantu rumah dengan sedu-sedan serta air mata terurai.
"Mana pensel warna yang ayah belikan semalam?" bentak ayahsambil mencari pensel warna yang baru dibelikan itu. Si ayah merampasnya dan mencampakkannya ke dalam kereta.
Pagi tersebut sangat murung buat anak, sangat perit buat ayah. Ayah masuk ke dalam kereta, menghempas pintu, menekan pedal minyak dan berlalu pergi tanpa menoleh. Ibunya pula hanya punya masa sebentar kerana terpaksa bergegas untuk urusan jauh ke luar daerah.
Tinggallah anak ini dengan air mata berlinangan, sedu, tangis dan kesakitan.
Ayah yang masih marah dan tidak dapat memaafkan anaknya terus menghantar kereta ke bengkel dan dia hanya di luar sepanjang hari. Buat sementara tertutup hati untuk balik ke rumah.
Lewat petang, telefon bimbitnya berbunyi, dengan malas dia mengangkat kerana dia tahu itu panggilan dari rumahnya.
"Bapak, apa saya perlu buat? Adik asyik menangis dan demamnya kuat sekali." Adu pembantu rumah di hujung talian dalam butir bicara keliru.
'Biarkan dia, saya nak ajar dia cukup-cukup!" Dengan marah dia terus mematikan telefon bimbitnya.
Malam itu, ayah tidak pulang ke rumah. Namun ketika lewat malam telefon bimbit berbunyi bertalu-talu daripada nombor yang dia tidak tahu. Dia mengangkatnya. Amat mengejutkan panggilan tersebut dari sebuah hospital meminta dia datang dengan segera. Tanpa berlengah, dia terus ke hospital.
Dia mendapati isterinya turut berada di sana. Pembantu rumah yang bergegas membawa anak ini ke hospital juga turut bersama dengan wajah sugul bercampur rasa bersalah. Dia terus meluru masuk berjumpa doktor bagi mengetahui kondisi anaknya. Alangkah pilunya apabila ia diminta menandatangani akuan bagi melakukan pembedahan bagi memotong pergelangan tangan anaknya..
"Seluruh sarafnya telah rosak dan bakteria telah masuk ke dalam sum-sum tulang, kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa memotongnya untuk menyelamatkan nyawa anak ini." Jelas doktor dengan gambar x-ray dan analisis lain penuh di atas meja. Dengan hati yang berat dia menurunkan tandatangannya.
"Hari malang apakah ini..." tangis hatinya dengan rasa sesal yang tidak dapat dibendung mengenang nasib anaknya.
Si ayah melihat dengan penuh simpati pada wajah comel anaknya yang telah terbaring setelah melalui pembedahan yang panjang. Dia tidak pasti apa perasaan sepatutnya ketika itu. Berulang-alik rasa bersalah, kasihankan si kecil, bodohnya tindakan, menyesal, simpati dan semuanya tidak jelas tapi satu yang jelas ialah tangan anaknya telah kudung.
Apabila si anak sedar, dia melihat ayah dan ibunya berada di sisi. Dia menangis sambil memohon kemaafan.
"Ayah... Maafkan adik, adik janji tidak akan gores kereta ayah lagi."
"Ayah tolong pulangkan pensel warna adik ... Adik nak melukis," rayu anak kecil itu dalam esakan meninggi mengemis simpati ayahnya.
Kelu lidah ayahnya, hanya air mata hangat mengalir dan di dalam dada sarat tergumpal rasa sesal. Dia hanya mampu menatap wajah anaknya yang masih menangis.
Tapi kemudian apabila anak ini tersedar tentang tangannya yang kudung, saat itu dia berkata dalam kesayuan, "Ayah, tangan adik dah tak ada, adik dah tak boleh melukis lagi, kalau adik dah besar nanti macamana nak jaga ayah..macamana adik nak mandikan ayah. Tangan adik dah tak ada lagi...Ayah, pulangkan tangan adik."
Tangisan adik terlalu kuat, sangat menyayat hati. Ayah hanya mampu menangis semahu-mahunya. Apakah yang mampu dia perbetulkan kini? Dia merangkul anaknya dengan pandangan kosong melihat anak bersama cita-citanya yang berkecai dan berderai.
Marilah kita meneroka ke dalam hati si ayah dan bertanya terus kepada keyakinannya:
"Bukankah anak ini harta yang paling berharga?"
Ya
"Bukankah anak permata hati?"
Benar.
"Bukankah anak ini ditunggu sejak kelahirannya, digomol penuh manja masa kecilnya, apabila berjauhan anda merinduinya, dia memanggil ayah dan menjadikan hidup anda bahagia?"
Benar, benar dan benar.
"Kalau begitu, samakah nilainya dengan warna kereta baru anda?
Tidak sama sekali.
"Jadi, kenapa anda sanggup memusnahkan cita-citanya dengan amarahmu itu?"
Errr.. (tiada jawapan).
Sampai di sini kita sedar ada perselisihan ketara antara keyakinannya dengan apa yang dia buat. Dia mungkin tidak dapai mencari jawapan kenapa, tetapi telah mengetahui akibatnya.
Justeru itu bagi kita, sekiranya keyakinan tidak dapat memperkuat amal, tambahkan satu lagi kayakinan bahawa:
Kebinasaan pasti menunggu mereka yang gagal beramal mengikut keyakinannya!
"May our songs be true to what we see on the horizon."
*Pengajaran:
- kemarahan akan membawa padah. dan kita perlu bahawa apa yang kita lakukan akan ada kesan. kerana kita adalah tergolong dalam sistem alam ini.. nak x nak, kita akan dapat balasan apa yang kita kerjakan... perkara yang kita boleh ubah adalah SEBAB, tetapi kesan daripada SEBAB kita tidak boleh ubah.
- maka, berfikirlah sebelum bertindak
- kawallah amarahmu, kerana apabila kita amarah, Allah tidak bersama kita, tetapi Syaitan yang bersama dengan kita.
- tingkatkan kesabaran, hidup ini adalah ujian Allah.
- jadikan Rasulullah S.A.W adalah idola kita. Akhlak RASULULLAH S.A.W adalah ALQURAN.
Thursday, 15 August 2013
kisah Lobak, Telur, dan Kopi
Seorang anak mengadu kepada ibunya tentang
kehidupan barunya di tempat kerja.
Dia baru sahaja grad dan bekerja di sebuah syarikat
terkemuka ibu kota.
Macam-macam yang dirungutkannya; dari gaji yang
sedikit, kerja yang menimbun, gosip rakan-rakan, hinggalah ke kesesakan jalan
raya yang dihadapinya setiap pagi…
Ibunya hanya tersenyum, sambil tangannya ligat
mengurus dapur manakala anaknya terus duduk bersungut di meja dapur meluahkan
perasaan.
Sambil itu ibunya mengambil tiga periuk berisi air
dan diletakkan dapur dan didihkan.
“Tolong ambilkan ibu sebatang lobak, sebiji telur
dan sesudu serbuk kopi dari rak dapur”, kata si ibu kepada anaknya.
Tanpa banyak soal si anak mengambil bahan masakan
yang diminta ibunya.
Kemudian si ibu mengambil lobak, telur dan serbuk
kopi yang dibawa anaknya ke dalam periuk berasingan yang berisi air yang sedang
didihkan tadi.
Selang beberapa minit…
… periuk pertama – lobak yang keras, beransur-ansur
menjadi lembut dan lembik.
… periuk kedua – telur yang rapuh dan lebut,
menjadi semakin pejal dan keras.
… periuk ketiga – serbuk kopi menghilang dan sebati di dalam air
dan mengeluarkan aroma yang harum dan segar.
“Lihat anakku”, si ibu memecah hening.
“Air mendidih itu ibarat pancaroba dalam kehidupan
ini”, si ibu berkias.
“Ketiga-tiga lobak, telur dan kopi menghadapi ‘cabaran’ dan ‘masalah’ yang
sama, iaitu air yang panas mendidih, tapi kesannya berbeza”.
“Lobak asalnya keras dan kuat serta tidak mudah
dipatahkan, tapi sekarang ia menjadi lembut dan rapuh sekali.
“Manakala telur yang asalnya rapuh dan cair di
dalamnya sekarang bertukar kepada keras dan pejal di dalamnya.
“Manakala kopi pula yang asalnya hanyalak serbuk,
telah meresap ke dalam air dan mengubah warna air malah menghasilkan aroma yang
enak”
“Mana yang kau pilih, anakku?”, duga sang ibu.
Sambil anaknya berfikir, si ibu meneruskan
kiasannya
“Ada orang yang seperti lobak. Asalnya seorang yang
kuat, tapi apabila mengahadapi cabaran dan pancaroba, dia menjadi semakin lemah
dan lembik. Mereka menyerah kalah dengan kehidupan”.
“Ada pula orang seperti telur, asalnya seorang yang
lemah lemput tetapi apabila berhadapan cabaran demi cabaran hidup, dirinya
semakin keras dan kasar.
“Berbeza pula dengan orang yang seperti kopi.
Ketika keadaan menjadi semakin getir dan pancaroba semakin panas, ia menjadi semakin baik malah berjaya menghubah
sekelilingnya menjadi lebih baik. Bukan dirinya yang berubah tapi keadaan
sekelilingnya yang berubah”.
“Nah, sekarang kau pilih sama ada untuk menjadi
lobak, telur ataupun kopi…..”, si ibu menghabiskan bicara.
Kalau anda, yg mana satukah yg anda pilih? Lobak?
Telur? Serbuk kopi?
puasa 6
Selamat hari raya...selepas puas bercuti di hari raya, kini marilah kita menyambung kerja-kerja yang tergendala.walaupun kemeriahan dan kegembiraan menyambut syawal masih membara, apatah lagi ada kawan-kawan yang masih bercuti, namun tanggungjawab kita sebagai seorang pekerja tidak boleh kita lupakan. Sepatutnya kita berasa lebih bersemangat untuk menjalankan amanah (kerja) yang telah diberikan kepada kita. Selepas ramadhan berlalu,janganlah kita tinggalkan amalan-amalan baik yang telah kita lakukan sepanjang 30 hari kita berpuasa, lebih elok jika kita istiqamah dan menyambung amalan-amalan baik tersebut sepanjang tahun ini. Antara amalan yang paling baik sempena syawal ini adalah melakukan puasa sunat enam. Tetapi, adakah anda tahu apakah itu puasa 6?
Puasa
enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan
Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di
awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga
dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal
bulan Syawal.
Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat
serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari
Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahawasanya Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”
Sunday, 4 August 2013
Selamat Pulang ke Kampung...
Hari Raya Aidilfitri kini yang hanya tinggal 3 hari sahaja lagi, ramai antara kita yang telah mula mengatur jadual perjalanan pulang ke kampung. Masalah kemalangan jalan raya yang kian meningkat setiap kali menjelang musim perayaan sangat membimbangkan.Oleh itu, kami berharap agar semua pengguna jalan raya akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencegah berlakunya kemalangan jalan raya yang boleh membantutkan keriangan hari raya anda.
Berikut adalah tips-tips yang berguna buat pengguna jalan raya bagi memstikan perjalanan anda selamat dan lancar :
1. Sediakan alat pengepam tayar "Portable".ini akan memudahkan anda ketika mengalami masalah tayar bocor atau kekurangan angin.
2. Sediakan 1 set kabel "Jump-Start" bagi membantu anda jika kenderaan anda mengalami masalah bateri.
3. Bawa beberapa botol air paip sekiranya radiator kereta anda mengalami kekurangan air.
4. Pastikan anda membawa bekalan minyak didalam botol untuk mengelakkan kenderaan anda terkandas sekiranya kehabisan minyak.
5. Pastikan cukai jalan dan lesen anda belum tamat tempoh untuk mengelakkan anda ditahan oleh penguatkuasa.
6. Dapatkan tidur dan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan supaya anda boleh fokus sepanjang perjalanan.
7. Pastikan kenderaan anda telah diservis dan berasa dalam keadaan yang baik.
8. Banyakan berSABAR dan pandulah dengan cermat dan berhemah.
Semoga perjalanan anda untuk pulang ke kampung anda akan lebih selamat dan lancar.
salam Aidilfitri dari kami Akasia Holiday.
Berikut adalah tips-tips yang berguna buat pengguna jalan raya bagi memstikan perjalanan anda selamat dan lancar :
1. Sediakan alat pengepam tayar "Portable".ini akan memudahkan anda ketika mengalami masalah tayar bocor atau kekurangan angin.
2. Sediakan 1 set kabel "Jump-Start" bagi membantu anda jika kenderaan anda mengalami masalah bateri.
3. Bawa beberapa botol air paip sekiranya radiator kereta anda mengalami kekurangan air.
4. Pastikan anda membawa bekalan minyak didalam botol untuk mengelakkan kenderaan anda terkandas sekiranya kehabisan minyak.
5. Pastikan cukai jalan dan lesen anda belum tamat tempoh untuk mengelakkan anda ditahan oleh penguatkuasa.
6. Dapatkan tidur dan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan supaya anda boleh fokus sepanjang perjalanan.
7. Pastikan kenderaan anda telah diservis dan berasa dalam keadaan yang baik.
8. Banyakan berSABAR dan pandulah dengan cermat dan berhemah.
Semoga perjalanan anda untuk pulang ke kampung anda akan lebih selamat dan lancar.
salam Aidilfitri dari kami Akasia Holiday.
Subscribe to:
Comments (Atom)


